Home » » Bersamamu Ramadhan

Bersamamu Ramadhan

Written By Sksogosogo Telupid on Monday, 1 August 2011 | 04:45


Kedatangan Ramadhan amat dinanti-nantikan oleh seluruh lapisan masyarakat umat Islam di seluruh dunia. Setiap hayunan langkahnya begitu memukau hati-hati pencinta Rabbul Izzati untuk merebut setiap ganjaran dan nikmat yang amat bernilai yang terdapat di dalamnya. Ungkapan Ramadhan sebagai penghulu segala bulan yang terkandung dengan curahan kemuliaan, kerahmatan, keampunan, pemeliharaan dari azab api neraka dan segala apa jua ruangan pintu-pintu kebaikan yang terbuka luas buat hamba-hambaNya yang mencari keagungan dalam bulan penuh barakah ini.

Namun, bukanlah segala macam wacana yang dikemukakan sebentar tadi yang ingin dikupas secara masak satu persatu memandangkan sudah acapkali ianya diutarakan buat tatapan umum supaya memasyarakatkan pengisian yang bermanfaat dengan sebaiknya. Tetapi, penulis gemar untuk mempersoalkan sebagai medan bermuhasabah kita bersama, adakah setiap satu kebaikan yang dilakukan di setiap saat waktu selama sebulan di bulan mulia itu dipraktikkan secara istiqomah? Atau apakah kita hanya merasakan bahawa keberkatan hidup di Ramadhan itu bermula ketika masuk waktunya lantas mengakhirinya setelah muncul kegembiraan di hari kemenangan?

Kita akui bahawa perlaksanaan amalan-amalan sunat dan ibadah sememangnya begitu hangat menusuk hanya pada bulan ini. Malah pada ketika ini juga menyaksikan penghayatan umat Islam yang sebenar-benarnya bagi mereka yang menjiwai erti Ramadhan yang sebenar. Seumpama seseorang yang jatuh hati kepada seseorang yang begitu disukai akan terasa rindu, sayang, kasih dan cinta yang teramat sangat sehinggakan tidak sanggup untuk berjauhan. Ingatlah satu sabda Nabi salallahualaihi wasalam yang masyhur apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat : Apakah amalan yang amat disukai oleh Allah? Maka Baginda menjawab : “ Sesungguhnya amalan yang amat disukai oleh Allah adalah sesuatu amalan yang walaupun sedikit akan tetapi dilakukan secara berterusan.”

Maksud hadith di atas memiliki mesej yang jelas bahawa saranan Nabi salallahualaihi wasalam agar setiap amalan yang dilakukan oleh seseorang itu hendaklah dilakukan secara berterusan (istiqomah). Meskipun suasana ibadah sunnah yang khusus tidak ada pada bulan selain Ramadhan, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita membataskan amal ibadah itu mengikut musim-musim tertentu. Adakah kemampuan yang begitu hebat pada bulan mulia ini sekadar bermusim, hadir ketika kemunculan Ramadhan dan kemudiannya hilang begitu sahaja setelah Ramadhan berakhir?

Sebuah keupayaan yang begitu bertenaga di bulan Ramadhan bukan sesuatu yang terbatas bahkan ia merupakan madrasah untuk kita mengaplikasikan keazaman ibadah di waktu selainnya. Lalu, usah kita meletakkan diri ke dalam kemunafikan yang tidak selayaknya timbul dalam diri seorang Muslim. Pemerkasaan yang disemai di ‘akademi Ramadhan selama sebulan perlulah diberi nafas semula supaya kesinambungan perlaksanaannya berterusan.

Apakah kita ingin melihat sebuah penyucian jiwa yang dicipta disepanjang bulan barakah itu tidak berguna dan sia-sia seumpama melepaskan batuk di tangga? Mahukah kita tergolong di kalangan mereka yang disebut oleh Allah Taala ; Bahawa segala penat lelah melakukan amalan itu tidak dinilai olehNya bahkan dipandang sunyi bagaikan debu-debu yang berterbangan ditiup angin?

Sayugianya perkara ini dipandang serius oleh setiap anggota mukmin lebih-lebih lagi golongan agamawan yang bakal memimpin dan memandu ummah supaya kita berjaya mendidik diri kita iltizam dan istiqamah dalam beramal. Supaya kelak kita tidak ditohmah oleh masyarakat lantaran kelalaian yang mampu menjadi fitnah kepada imej sarjana Islam.

Peringatan ini dilemparkan buat diri dan sidang pembaca, khususnya di kalangan masyarakat al Azhar supaya kita mampu meningkatan ketaatan kepada Allah secara berterusan tanpa terikat dengan musim-musim yang tertentu. Mukmin yang terbaik adalah apabila melakukan sesuatu amalan dia lakukannya dengan bersungguh-sungguh dan berterusan.

Usah kita mengamalkan konsep muhasabah yang sinonimnya dilakukan pada akhir sesebuah program. Semoga nasihat ini mampu meningkatkan integriti yang sepenuhnya terhadap Allah Rabbul Izzati. Seterusnya berupaya meniupkan semangat para pejuang agama Allah sekalian untuk memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap kedatangan Ramadhan tahun ini dan tahun-tahun berikutnya. Sambutlah kemunculannya dengan meriah penuh kesyukuran dan meratap hiba apabila tiba saat pemergiannya sebagaimana yang dilalui oleh para Sahabat, para Solehin, dan tabi’ tabi’in ketika dilanda perpisahan dengan bulan yang diiktiraf oleh Allah Taala sebagai bulan terbaik dari seribu bulan.

By : Mohd Rasul b Amat
Share this article :

0 comments:

Post a Comment

Powered by Kickstory - Like Kickstory

Kickstory

Sponsor

 
Support : kickstory | kick2u | kick2u
Copyright © 2013. SK Sogo Sogo - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger